Penulis: Siti Nor Dalila

PENGENALAN
Erik Erikson merupakan seorang ahli psikoanalisis yang berasal dari Frankfurt, Germany. Beliau lahir pada 15 Jun 1902 dan meninggal dunia pada 12 Mei 1994. Beliau merupakan seorang pakar dalam Pembangunan Psikologi. Erik Erikson terkenal dalam mengembangkan kefahaman konsep krisis identiti berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh beliau sendiri sejak kecil lagi. Erik telah dibesarkan oleh ayah tirinya iaitu seorang yahudi dan menukar namanya kepada Erik Homberger.
Erik Erikson telah menghadapi krisis identiti sejak kecil lagi kerana wajahnya menyerupai orang bangsa Skandinavia yang mempunyai rambut putih kuning dan mata biru. Akibatnya beliau sering dipinggirkan dan diperli oleh jiran-jiran dan rakan di sekolahnya. Tetapi berdasarkan pengalaman ini, beliau gunakan untuk mengkaji perkembangan identiti seseorang.
Teori Erikson lebih menekankan kepada aspek-aspek kehidupan sosial dan fungsi budaya yang mempengaruhi identiti manusia. Teori ini lebih realistik berbanding teori Freud yang menekankan kepada aspek-aspek ketidaksedaran manusia. Teori Erikson juga menambahkan dimensi sosial-psikologi pada konsep dinamika dan perkembangan personaliti yang dikemukakan oleh Freud. Ia turut mengambil kira kesan daripada faktor-faktor luaran seperti pengaruh ibu bapa dan masyarakat terhadap perkembangan personaliti kanak-kanak sehingga dewasa.
Ciri-ciri personaliti manusia muncul berdasarkan satu tahap susunan atau urutan yang sudah ditentukan oleh keturunan individu tersebut. Ia berkembang berdasarkan lapan tahap atau peringkat perkembangan sepanjang hayatnya dimana kejayaan peringkat tersebut bergantung kepada tahap kejayaan sebelumnya. Namun, setiap tahap psiko-sosial juga akan disertai dengan krisis atau konflik dimana konflik tersebut sangat penting dalam menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan diri. Selain itu, setiap individu juga akan mengalami kekeliruan dan kecurigaan.
Menurut Erikson, terdapat 3 aspek dalam perkembangan identiti seseorang iaitu identiti ego (kendiri), identiti peribadi dan identiti sosial dan budaya. Identiti ego ialah identiti yang berkait dengan dalaman diri dan rahsia-rahsia yang terpendam dalam hati. Manakala identiti peribadi pula dibentuk melalui tingkah laku yang membezakan seseorang daripada yang lain. Seterusnya ialah identiti sosial dan budaya di mana seseorang individu itu mempunyai pelbagai peranan sosial atau budaya dalam diri.
8 TAHAP PERKEMBANGAN INDIVIDU SEPANJANG HAYAT
Tahap pertama ialah Kepercayaan vs Ketidakpercayaan (0 – 1 ½ tahun). Rasa kepercayaan dan kasih sayang sesuai dibina pada tahap ini secara berperingkat-peringkat. Perkembangan ego pada tahap ini adalah berdasarkan kepada individu-individu yang boleh dipercayai. Contohnya bayi lebih mempercayai ibu bapa dan pengasuhnya. Manakala perasaan curiganya pula ialah sukar untuk mempercayai orang dewasa lain di sekitarnya. Ia juga terjadi apabila keperluannya tidak dipenuhi dan kesannya akan timbul tingkah laku negatif. Contohnya bayi akan menangis apabila didukung. Implikasinya ialah peranan ibubapa perlu untuk memastikan bayi mereka akan sentiasa selamat dan disayangi agar kepercayaan dapat dibentuk.
Tahap kedua ialah Autonomi vs Malu & Ragu (1 ½ - 3 tahun). Kanak-kanak pada tahap ini akan melakukan sesuatu aksi tanpa rasa malu. Kanak-kanak juga akan lebih berdikari dan berkeyakinan jika banyak menerima pendedahan dari ibu bapa. Mereka juga ingin memiliki kuasa dan berbuat sesuatu atas daya usaha sendiri tetapi akan berasa takut jika melakukan kesilapan. Kanak-kanak akan merasa malu dan ragu jika orang dewasa tidak mengendalikan diri mereka dengan betul. Implikasinya ialah keinginan kanak-kanak untuk bertindak bebas meningkat. Ibu bapa perlu bersabar dan bersikap prihatin dalam membimbing anak.
Tahap ketiga ialah Inisiatif vs Serba Salah (3 – 6 tahun). Tahap ini merupakan tahap bermain kanak-kanak di mana kanak-kanak belajar berikhtiar dalam segala tugasan serta menceburi semua bidang permainan. Kanak-kanak boleh diberi tanggungjawab sederhana dan kemahiran-kemahiran baru untuk menghadapi pelbagai jenis cabaran, pengembangan kreativiti, imaginasi dan sifat ingin tahu mereka. Mereka juga peka kepada perkara betul dan salah. Kanak-kanak akan merasa serba salah jika tidak diberikan peluang untuk mengembangkan potensi mereka. Implikasinya ialah ibu bapa perlu memberi galakan, sokongan dan bimbingan supaya kanak-kanak ini dapat meneroka, mencuba, menyedari dan memantapkan keupayaan.
Tahap keempat ialah Berdaya Usaha vs Rendah Diri (6 – 11 tahun). Kanak-kanak pada tahap ini sudah pandai bersosial iaitu berkawan. Mereka juga sudah boleh memahami arahan guru dan peraturan sekolah. Peranan guru ialah sentiasa memberi peneguhan untuk membentuk tingkah laku positif dan elak mengkritik kerana ia akan menimbulkan perasaan rendah diri dalam kalangan pelajar.
Tahap kelima ialah Identiti vs Kekeliruan Identiti (12 – 20 tahun). Pada tahap ini, remaja akan mengalami cabaran untuk mengenali diri sendiri dan mengalami kekeliruan dalam memahami peranan mereka. Sifat-sifat remaja yang terbentuk biasanya mempunyai tingkahlaku yang agresif dan melakukan perbuatan luar biasa seperti merokok, bersikap kasar dan melanggar nilai-nilai norma dalam masyarakat. Untuk mencari identiti diri, remaja akan menjadikan rakan sebaya, guru dan kakitangan sekolah sebagai role model mereka. Mereka akan mengalami kekeliruan identiti jika tiada role model dalam persekitaran mereka. Implikasinya ialah ibu bapa perlu memahami malahan mengisi keperluan remaja agar identiti yang sihat dapat dibentuk.
Tahap keenam ialah Intim vs Bersendirian (20 – 30 tahun). Remaja pada tahap ini berkeinginan untuk berkawan dengan berlainan jantina dan mempunyai hubungan intim dengan orang lain. Mereka akan berusaha membina keluarga dengan mencari jodoh mereka sendiri dan menentukan matlamat dalam kehidupan mereka. Kesannya jika remaja gagal dalam mencapai hubungan intim, mereka akan merasa kecewa, sunyi dan rendah diri.
Tahap ketujuh ialah Generatif vs Pemusatan Kendiri (30 – 50 tahun). Kebiasaannya, individu pada tahap ini akan mencapai puncak dalam kerjaya yang diceburi. Mereka sangat prihatin dalam perkembangan generasi masa depan (anak) dan akan sentiasa membantu mereka. Tetapi sebaliknya berlaku, individu akan menjadi lesu serta tidak berazam untuk membina generasi masa depan. Implikasinya ialah mereka merasa diri amat bermakna dan berpuas hati jika dapat memberikan bantuan kepada orang lain.
Tahap kelapan ialah Integriti Ego vs Putus Asa ( > 60 tahun ). Tahap ini merupakan tahap untuk mencapai integriti tanpa berputus asa dalam kehidupan. Mereka boleh menerima hakikat melepaskan tanggungjawab kepada orang muda. Mereka mampu membina kekuatan dengan memahami bahawa perkhidmatannya tidak diperlukan lagi dan diserahkan secara beransur-ansur sama ada di pejabat, rumah dan komuniti. Tetapi sebaliknya berlaku, mereka akan merasa kecewa jika gagal melepaskan tanggungjawab dengan baik dan mereka juga berpotensi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit dan kehilangan orang disayangi. Implikasinya ialah mereka pada tahap ini mempunyai emosi bercampur baur dan sistem ketahanan fizikal semakin berkurang.
IMPLIKASI TEORI ERIKSON DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Peranan guru hendaklah menjadikan dirinya teladan dan role model kepada pelajar untuk memupuk sikap, kepercayaan dan tabiat yang baik. Hal ini memerlukan guru mempunyai sifat jujur, penyayang, bertolak ansur dan sentiasa bersabar untuk memahami perasaan dan emosi murid-murid.
Guru hendaklah membimbing pelajar bukannya hanya fokus kepada subjek semata-mata. Teori ini menekankan bahawa pelajar yang utama manakala subjek yang kedua dimana guru perlu menunjukkan simpati dan empati terhadap murid-muridnya. Hubungan yang terbina antara guru dengan murid hendaklah satu hubungan yang mesra dan guru menerima murid tersebut tanpa syarat.
Guru juga hendaklah memberikan peluang kepada pelajar untuk memilih tugasan dan aktiviti pembelajaran apabila terdapat peluang untuk berbuat demikian. Selain itu, guru hendaklah menerangkan dan menjelaskan sesuatu tindakan dan kesannya kepada pelajar. Segala tindakan yang diambil oleh guru mestilah berpandukan kepada sebab atau alasan yang munasabah.
Peranan sekolah pula ialah pihak sekolah perlu menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dalam suasana yang harmoni dan tidak terancam untuk keperluan pelajar dalam pelbagai peringkat perkembangan. Guru Besar pula bertanggungjawab membina suasana sekolah yang selamat dan harmoni untuk perkembangan positif individu tersebut. Manakala murid-murid pula perlu diberi peluang untuk menunjukkan bakat dan kemahiran terpendam mereka menerusi penganjuran acara-acara yang melibatkan pementasan dan persembahan.
Pengaruh rakan sebaya juga penting dalam perkembangan diri individu dimana pihak sekolah perlu mewujudkan suasana yang kondusif dalam menggalakkan interaksi sosial sesama sendiri di sekolah amnya.
No comments:
Post a Comment